Peruntukan sewajarnya untuk perkasa industri pelancongan di Sarawak

Abdul Karim menerima Anugerah Emas PATA 2019 dari Sharzede.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Oktober 1: Sarawak mengharapkan sejumlah peruntukan yang sewajarnya dalam Belanjawan Negara 2020 untuk membangunkan industri pelancongan di negeri ini.

Menteri pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Sarawak masih perlu membina kemudahan disamping keperluan mengadakan lebih banyak lagi promosi.


“Sepertimana negeri-negeri lain, Sarawak mengharapkan peruntukan besar bagi membantu kita menyediakan kemudahan yang menyokong industri pelancongan di sini.

“Saya harap kerajaan pusat akan memberi pertimbangan yang  positif,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan Anugerah Emas 2019, Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang diserahkan CEO Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Dato Salleh Askor.

Tambah Abdul Karim, Sarawak adalah negeri yang besar, iaitu seluas Semenanjung Malaysia dan sememangnya perlu meningkatkan kemudahan infrastruktur.

“Untuk memajukan kawasan pelancongan yang baharu kita perlu membina jalanraya dan kemudahan lain seperti hotel dan homestay.

“Ini memerlukan kewangan yang banyak dan itulah kekangan kita hadapi pada masa ini,” katanya lagi.

Belanjawan Negara 2020 bakal dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober ini.

Bermula 9 Ogos sehingga 11 September lepas, rakyat Malaysia telah diberi peluang menyumbangkan idea dan cadangan mereka dalam penyediaan belanjawan tersebut.

Berhubung penyerahan anugerah emas PATA, Abdul Karim berkata ia adalah kejayaan STB dalam usaha mempromosikan pelancongan di Sarawak.

STB muncul pemenang Anugerah Emas 2019 PATA dalam Media Pemasaran untuk kategori Video Pengembaraan pada majlis yang diadakan di Nur-Sultan (Astana), Kazakhstan, pada 19 September lepas.

Video Pengambaran bertajuk ‘Why Limit Yourself’ keluaran syarikat tempatan Asa Esa Film memaparkan keindahan semulajadi, fauna dan flora, kepelbagaian makanan dan budaya selain cerita masyarakat Sarawak.

Ia memperlihatkan tempat-tempat menarik di Sarawak seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Bako, Pantai Tusan di Miri, Pulau Satang, Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Tebingan Kuching, Jambatan Darul Hana dan Pasar Malam Siniawan, Bau.

Kali ini anugerah menarik minat 198 penyertaan daripada 78 organisasi dan individu dari seluruh dunia. — DayakDaily