Peruntukan RM14.3 juta selesai isu air di kawasan Ulu Roban

Kelihatan Ali (kanan) ketika mendengar taklimat perlaksanaan Projek Penyambungan Bekalan Air Terawat ke kawasan Ulu Roban.

KUCHING, 24 Mac: Masalah bekalan air yang di hadapi oleh penduduk di Saratok khususnya kawasan Ulu Roban bakal selesai menerusi projek penyambungan bekalan air terawat ke kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berkata, projek tersebut yang melibatkan peruntukan sebanyak RM14.3 juta diluluskan pada Januari 2021 oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bertindak sebagai agensi perlaksana.

“Projek ini melibatkan skop kerja seperti pemasangan paip pelbagai saiz sepanjang 14 kilometer, sebuah takung (reservoir), sebuah stesyen penggalak.


“Kerja-kerja berkaitan yang akan memberi manfaat kepada penduduk-penduduk di enam buah rumah panjang yang belum menikmati kemudahan asas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ali, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Utiliti Sarawak bahawa projek tersebut kini sedang melalui proses perlantikan konsultan dan dijangka akan ditender pada suku pertama tahun hadapan.

Ali (dua, kanan) berbaul bersama Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak Datuk Alice Jawan.

Katanya, projek tersebut telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dibiayai oleh kerajaan persekutuan melalui KPLB.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada kepada kerajaan Sarawak yang sentiasa menyokong serta menjaga pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Saratok.

Pada masa sama Ali turut memberitahu beliau akan memantau perkembangan projek ini dari semasa ke semasa agar perlaksanaannya mengikut jadual yang dirancang. — DayakDaily