Peruntukan fasa ketiga Unifor salur RM15 juta kepada rumah-rumah ibadat, RM20 juta untuk sekolah mubaligh

Uggah (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama penerima-penerima peruntukan dari Unifor.

KUCHING, 27 Sept: Unit Hal Ehwal Agama Agama Lain (Unifor) hari ini menyalurkan peruntukan sebanyak RM15,214,000 kepada rumah-rumah ibadat.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah peruntukan fasa ketiga bagi 94 buah projek yang telah diluluskan.

Manakala bagi sekolah mubaligh pula, Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Unifor mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk 127 buah sekolah.


“Dengan sumbangan daripada kerajaan ini, diharap agar semua projek-projek dapat disiapkan mengikut jadual terutama sekali projek-projek yang telah bermula beberapa tahun lalu namun masih belum siap dan terbengkalai disebabkan kekurangan dana.

“Adalah menjadi harapan kita semua institusi keagamaan yang telah diluluskan permohonan agar dapat menggunakan dana sebaiknya demi manfaat komuniti masing-masing,” katanya dalam ucapan di Majlis Penyerahan peruntukan di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Pada pengagihan pertama yang lepas, Unifor telah mengagihkan dana sejumlah RM3 juta untuk kegunaan House Of Epiphany, Gereja St Thomas, Kuching yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada pengagihan fasa kedua kemudian, sebanyak RM31,945,000 telah diagihkan kepada 219 projek. — DayakDaily