Pertubuhan sukan digesa menganjurkan acara peringkat antarabangsa bagi golongan remaja

Abdul Karim (tiga dari kanan) memakaikan perhiasan manik ke ketua pemain tenis remaja dari negara lain yang menyertai pertandingan ITF Junior Davis Cup dan Junior Fed Cup 2018 semasa majlis makan malam meraikan mereka.

KUCHING, April 15: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak mengalakkan pertubuhan sukan di negeri ini menganjurkan acara sukan peringkat antarabangsa bagi golongan remaja.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penganjuran sukan yang disertai banyak negara bukan sahaja bermanfaat dari segi mengasah bakat muda dalam bidang sukan tetapi pada masa sama membantu memperkenalkan Sarawak dan mempromosikan negeri ini kepada pelancong.

“Ini seperti kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Junior Davis Cup dan Junior Fed Cup 2018 yang dianjurkan Persatuan Tenis Lawn Sarawak (SLTA) di bandaraya ini,” katanya ketika menghadiri majlis makan malam bagi meraikan pemain tenis remaja bagi pertandingan terbabit, di sini, semalam.

Majlis terbabit juga dihadiri Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew Chin Joon, wakil ITF dari New Zealand, Patrick O’Rourke dan hakim ITF dari India, Puneet Gupta.

Keseluruhannya sebanyak 16 negara menyertai pertandingan ITF Junior Davis Cup dan Junior Fed Cup 2018 Kelayakan Akhir Asia Oceania dari April 9 hingga 21 termasuk dari Jepun, China, India, Pakistan, Australia, New Zealand, Filipina, Thailand, Indonesia, Korea, Chinese Taipei, Hong Kong, Sri Lanka, Singapura, Mongolia, Kazakhstan dan Uzbekistan, Pacific Oceania dan Malaysia.

Abdul Karim berharap pertubuhan sukan di negeri ini dapat mengikut langkah SLTA yang sudah kerap menganjurkan pertandingan tenis remaja peringkat antarabangsa di bandaraya ini yang pada masa sama telah membantu menarik pelancong ke negeri ini.

“Saya sehubungan itu amat gembira melihat melalui usaha SLTA, sekali lagi Kuching dan Sarawak di serlahkan pada peta dunia melalui acara pertandingan tenis peringkat antarabangsa ini,” katanya.

Abdul Karim (berdiri barisan pertama, tujuh dari kiri) merakamkan gambar bersama pemain tenis remaja dari negara lain yang menyertai pertandingan ITF Junior Davis Cup dan Junior Fed Cup 2018 semasa majlis makan malam meraikan mereka.

Beliau juga berharap ibu bapa dan pegawai sukan yang menemani pemain tenis remaja dari 16 negara itu dapat melancong ke kawasan menarik sekitar luar bandaraya ini yang banyak pantai, gua dan taman negara termasuk Taman Negara Bako yang tertua di Sarawak.

“Di taman negara terbabit mereka boleh melihat haiwan liar seperti monyet belanda dan kawasan paya bakau, tepian pantai serta hutan hujan tropika,” katanya.

Disamping itu, beliau berharap pemain remaja kejohanan tenis itu dapat menikmati pelbagai hidangan unik Sarawak sekiranya ada masa kelapangan ketika pertandingan, dan mengalakkan mereka kembali ke negeri ini Jun 1 depan bagi merasai pengalaman meraikan perayaan Gawai Dayak. — DayakDaily