PANTU, Nov 28: Tuai Rumah Masa Nangkai menjemput Ketua Masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, agensi-agensi dan juga masyarakat Orang Asal Sarawak terutamanya masyarakat Dayak untuk menghadiri pertemuan besar di Kampung Tekuyong, Pantu pada Disember 3, 2017.
Pertemuan ini yang akan bermula pada pada jam 9.00 pagi adalah untuk berbincang mengenai tindakan susulan mengenai kekalahan kes NCR di Mahkamah Persekutuan, Malaya yang melibatkan kes Tuai Rumah Sandah Machan (Kanowit), Tuai Rumah Nyutan (Kampung Lebur) dan Tuai Rumah Masa Nangkai (Pantu).
“Kami telah menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan. Akan tetapi kami kalah apabila (Mahkamah Persekutuan memutuskan) kami tiada hak ke atas tanah kami dan kami cuma dibenar untuk menerima pampasan sahaja. Tanah yang hilang adalah tanah kami dalam ‘Provisional Lease’ (PL) syarikat dan kerajaan BN Sarawak.
“Bukti-bukti kemenangan kami di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak diguna pakai. Ini tidak adil. Kami mahu semua Dayak dan masyarakat Orang Asal Sarawak untuk sama-sama bangkit dan hadir dalam perbincangan untuk tindakan susulan,” kata Tuai Rumah Masa dalam satu kenyataan media hari ini.
Jengga Jeli yang merupakan wakil Kampung Lebur berkata: “Kami tidak akan menerima pampasan dan tidak akan menyerahkan tanah kami kerana tanah berkenaan merupakan tanah warisan nenek moyang kami. Sekiranya pihak Tabung Haji ikhlas, mereka haruslah berunding secara terus dengan kami orang kampung dan bukan melalui orang tengah. Kami tidak akan menyerahkan tanah kami walaupun seinci namun kami cuma membenarkan syarikat menyewa tanah kami tapi semuanya harus dilakukan secara telus dan betul.”
Turut akan hadir ke perjumpaan berkenaan adalah peguam bela Dato Seri Daniel Tajem, peguam Dominique Ng Kim Ho, Setiausaha Agung Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) Nicholas Mujah Ason, perwakilan SCRIPT Micheal Jok, dan perwakilan Dayak Nation Insitute (DANI) Rapelson Richard Hamit.
Beliau juga menyeru pihak DANI, SADIA, Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), Terabai Menoa, Sarawak Dayak Graduates Association (SDGA), Dayak National Congress (DNC), Gerakan Anak Sarawak (GASAK), Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS), Tanah Hak Adat Sarawak (TAHABAS), Dayak Rights Action Force (DRAF), SCRIPT, SAVE RIVERS, NTFP dan perwakilan NGO Dayak yang lain untuk hadir ke pertemuan perkenaan
Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan pertanyaan mengenai lokasi pertemuan, sila hubungi Rapelson Richard Hamit (0111-9882210)