Persidangan Veterinar 2023 perkukuh reputasi Sarawak sebagai tuan rumah acara global

Dr Rundi (tengah) pamer poster FAVA 2023 selesai sidang media di Kuching.

KUCHING, 3 Okt: Persidangan ‘Federation of ASEAN Veterinary Association’ (FAVA) Ke-22 dan ‘Malaysian Veterinary Medical Association’ (MAVMA) Ke-33 (FAVA 2023) akan mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai tuan rumah penganjuran acara global.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, persidangan bertujuan untuk menangani isu global yang mendesak seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan penyakit berjangkit.

“Tumpuan khas akan diberikan kepada memerangi penyakit seperti rabies, memudahkan pertukaran pengetahuan dan berkongsi pengalaman.


“Ia juga menyatukan usaha dalam kalangan negara Asia dan kumpulan FAVA untuk menangani isu ternakan dan meningkatkan langkah biosekuriti.

“Ia akan menawarkan pelbagai program seperti bengkel prakongres dan kelas utama yang memfokuskan pelbagai aspek sains veterinar, perubatan dan pembedahan ‘One Health’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran FAVA 2023 di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Persidangan yang julung kali diadakan di Sarawak ini dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Nov 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Ia bakal disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu, Dr Stephen Rundi memberitahu, kerajaan Sarawak mempunyai perancangan strategik untuk meningkatkan pengeluaran beras dan padi bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan tempatan. — DayakDaily