Persiapan lawatan KM ke Pakan lancar

Mawan bergambar beramai-ramai dengan para tuai rumah dari Daerah Pakan ketika mengadakan gotong-royong di daerah tersebut baru-baru ini.

SARIKEI, 20 Julai: Penduduk Pakan telah membuat persediaan bagi menerima lawatan rasmi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah dijadualkan pada 23 Julai (Khamis).

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, persiapan rapi telah dilakukan oleh penduduk Pakan yang diwakili para tuai rumah daerah ini sejak lebih seminggu yang lepas.

Jelasnya, kerja-kerja persiapan tersebut melibatkan aktiviti gotong-royong di kawasan-kawasan yang bakal dikunjungi oleh Ketua Menteri pada lawatan berkenaan.


“Gotong-royong telah diadakan di Bangunan Pejabat Daerah Pakan iaitu tempat taklimat pembangunan yang bakal diadakan,” kata Mawan selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua masyarakat bagi persediaan untuk lawatan Ketua Menteri ke Pakan Khamis ini.

Aktiviti gotong-royong tersebut telah mendapat penyertaan yang sangat baik dengan kehadiran 80 tuai rumah atau wakil mereka.

Mawan juga mengucap terima kasih kepada mereka yang dapat meluangkan masa untuk menjayakan program tersebut.

Dalam majlis yang sama, Mawan turut menyampaikan topeng muka (face mask) kepada Pegawai Daerah Pakan Serujie Ladin yang mewakili para ketua masyarakat di kawasan Pakan.

Beliau juga berharap agar tuai rumah turut mengajak penduduk setempat untuk keluar beramai-ramai bagi menyambut kedatangan Ketua Menteri di Stadium Sukan Pakan dan juga di tapak perasmian tanpa mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.

Lawatan kerja rasmi yang bakal diadakan oleh Ketua Menteri ini merupakan lawatan kali pertama ke Daerah Pakan.

Difahamkan juga lawatan kerja rasmi ini ialah untuk merasmikan pembukaan Jalan Pakan/Ulu Kota (Fasa 2), Pakan. —DayakDaily