Persiapan Krismas dua keluarga terjejas akibat rumah terbakar

Keadaan api yang sedang marak membakar sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 13: Persiapan dua buah keluarga menjelang sambutan Hari Krismas akan datang terjejas apabila kediaman mereka terbakar dalam satu kejadian di Kampung Jabai, Jalan Tanjung Batu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.28 petang itu mengakibatkan dua buah rumah jenis dua tingkat terbakar kira-kira 80 dan 50 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Hambali Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 3.30 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota bomba bersama dua jentera pemadam kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan dua buah rumah kampung.

“Rumah pertama struktur dua tingkat jenis separuh kekal telah terbakar kira-kira 50 peratus.

“Manakala, rumah kedua struktur dua tingkat jenis tidak kekal pula terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hambali memberitahu, pemeriksaan awal mendapati kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, antara lain tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku susulan kejadian berkenaan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily