Persembahan Darul Hana Musical Fountain ditangguh pada Dis 31

Poster acara Majlis Perasmian 'Musical Fountain' yang akan diadakan bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-82 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang disiarkan di laman Facebook DBKU.

KUCHING, 28 Dis: Dewan Bandaraya Kuching Utara ( DBKU) akan menangguhkan sementara persembahan air pancut Darul Hana Musical Fountain di seberang Tebingan Kuching pada malam sambutan tahun baru pada 31 Disember depan.
Penangguhan sementara itu akan menyebabkan Darul Hana Musical Fountain tidak akan dipersembahkan mengikut masa yang ditetapkan seperti setiap malam dari jam 8:30 malam dan 10:00 malam.
“Namun begitu, pada hari Isnin nanti, 31 Disember 2018, persembahan Darul Hana Musical Fountain tidak akan dimainkan mengikut masa yang ditetapkan bagi memberi laluan kepada persembahan khas sempena Sambutan Pengiraan Detik Tahun Baru  2019 dan pelancaran Kempen Melawat Sarawak 2019 bertempat di Tebingan Kuching,”menurut kenyataan media DBKU hari ini.
DBKU sehubungan itu mahu pihak yang ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara terbabit untuk menghubungi Bahagian Perhubungan Awam DBKU di talian 082-512 200.
Darul Hana Musical Fountain merupakan ikon pelancongan Sarawak terbaru yang menampilkan persembahan air pancutan bermuzik yang mampu menggamit hati warga kotanya pada setiap malam, jam 8:30 malam dan 10:00 malam.
Persembahan terbabit diadakan sejak ianya dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 14 Oktober 2018 yang lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan media DBKU semalam, Pangkalan Sapi yang menjadi persinggahan bot sekitar Tebingan Kuching juga  akan ditutup sementara selama lapan hari, bermula 26 Disember 2018 sehingga 2 Januari 2019.
Penutupan ini adalah juga bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan Sambutan Pengiraan Detik Tahun Baru 2019 dan pelancaran Kempen Melawat Sarawak 2019 yang akan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pangkalan Sapi akan dibuka semula pada hari Khamis, 3 Januari 2019.