Persekutuan Persatuan Cina sumbang ayam segar kepada Kampung Tematu yang dikenakan PKPD

KK Geofrey (empat dari kiri) menerima bantuan ayam segar dari Lo Siew Fung sambil diperhatikan Lo (empat dari kanan) di Perkarangan Gereja Katolik Kampung Tematu.

KUCHING, 6 Julai: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menyumbang 190 ayam segar kepada penduduk Kampung Tematu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bantuan ayam segar itu telah diterima Ketua Kaum Geofrey Tahang daripada wakil persatuan Lo Siew Fung yang turut disaksikan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Ketika ditemui, Lo berkata sebanyak 189 ketua isi rumah(KIR) di Kampung Tematu telah menerima banyak sumbangan berupa bantuan makanan dari pelbagai pihak sejak pelaksanaan PKPD.

Katanya, bantuan akan terus disalurkan kepada penduduk dalam tempoh seminggu yang akan datang untuk keperluan mereka.

Dalam pada itu, Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan(MPP) yakin PKPD di Kampung Tematu akan tamat mengikut tempoh yang telah ditetapkan iaitu pada 12 Julai ini.

“Saya yakin PKPD ini akan berakhir dalam tempoh seminggu lagi.

“Pada ujian saringan Covid-19 yang pertama terdapat lima kes positif dan pada kelmarin ada dua positif.

“Kampung ini ada 189 keluarga tetapi kes positif sehingga kini hanya tujuh sahaja. Saya yakin ini bukan masalah besar dan kita akan selamat,” kata Lo.

Penduduk di Kampung Tematu dikenakan PKPD bermula 29 Jun lepas. — DayakDaily