Persatuan sukan Sarawak digesa mengemukakan permohonan peruntukan untuk pertandingan

Abdul Karim (tengah, memakai baju lengan pendek) bersama peserta Kejohanan Judo Jemputan Kuching anjuran Persatuan Judo Sarawak di Aeroville Mall Stutong.

KUCHING, Dis 31: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dijangka tidak akan menghadapi masalah memberikan peruntukan kewangan kepada persatuan sukan di Sarawak yang mahu menganjurkan acara pertandingan sukan secara besar-besaran tahun depan.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dan meminta persatuan tersebut tidak bimbang mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan itu sekiranya mahu menganjurkan acara itu termasuk peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa di negeri ini tahun depan.

“Saya tidak menjangkakan wang akan menjadi masalah, tetapi lebih kepada samada kamu (persatuan sukan di Sarawak) samada mahu menganjurkannya (acara sukan secara besaran peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa) atau tidak,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Judo Jemputan Kuching anjuran Persatuan Judo Sarawak di Aeroville Mall Stutong, di sini, hari ini.

Abdul Karim tidak dapat memberikan jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi tujuan itu yang telah disediakan kerajaan negeri dan akan diagihkan kementeriannya tetapi memberi jaminan peruntukan itu cukup banyak bagi diagihkan kepada persatuan sukan di negeri ini tahun depan.

“Saya mendapatkannya dari kabinet negeri dan saya juga mendapatkannya dari Ketua Menteri. Jumlahnya agak besar, tidak perlu disebutkan jumlahnya. Kami mengharapkan mereka tampil (memohon peruntukan itu) dengan sesuatu berbentuk kertas kerja (penganjuran acara sukan) dan menghantarnya kepada kami,” katanya.

Beliau berkata permohonan persatuan itu akan diluluskan sekiranya mereka menghantar kertas kerja yang baik dan mendedahkan sehingga kini ada persatuan terbabit sudah diluluskan menerima peruntukan mencecah RM500,000 malahan RM1 juta tahun hadapan.

Selain itu, Abdul Karim juga mengalakkan persatuan belia lain berkaitan sukan di Sarawak seperti Persatuan Judo Sarawak supaya juga memohon peruntukan itu bagi menganjurkan acara berkaitan sukan mempertahankan diri judo secara besaran tahun depan.

“Saya juga tidak mahu lagi mendengar alasan kamu (Persatuan Judo Sarawak) tidak boleh menganjurkan acara ini atau itu kerana tiada wang,” katanya berikutan kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan menganjurkan acara terbabit dan boleh dipohon dari kementerian itu. — DayakDaily