KUCHING, 28 DIs: Ahli perpustakaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) boleh meminjam lapan naskah buku untuk tempoh 14 hari mulai 1 Januari 2021.
Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah inisiatif untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan warga Kuching.
“Selain itu, ahli perpustakaan komuniti DBKU pula boleh meminjam lima naskah buku untuk tempoh 14 hari,” katanya.
Sebelum ini, ahli perpustakaan bandaraya hanya dibenarkan meminjam lima naskah buku manakala dua naskah buku bagi ahli perpustakaan komuniti.
Dr Morshidi berharap dengan penambahan jumlah pinjaman buku ini, Perpustakaan DBKU dapat menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, ia sekaligus menjadikan warga Kuching sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan.
Dalam pada itu, DBKU katanya turut memainkan peranan sebagai sebuah organisasi yang dekat dengan masyarakat dan berusaha menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada warga Kuching. —DayakDaily