Perodua Bezza jatuh gaung, seorang wanita maut manakala kanak-kanak lelaki selamat

Keadaan Perodua Bezza selepas terjatuh ke dalam gaung di KM55, Jalan Mukah-Selangau.

MUKAH, Jun 19: Seorang wanita maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di KM55, Jalan Mukah-Selangau di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan mangsa, Nuli Sulang, 27, dari Rumah Juti, Sungai Bawan, Balingian disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, insiden tersebut juga mengakibatkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan.


Katanya, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah bandar Mukah dari Selangau.

“Namun, malang menimpa mereka apabila kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 5 meter.

“Nuli yang tercampak keluar dari kereta tersebut mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas itu.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.

“Kanak-kanak lelaki yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily