Perodua Alza jatuh sungai, lelaki maut akibat terperangkap

Kelihatan kerja-kerja mengangkat Perodua Alza dari sungai.
Advertisement

SIBU, Julai 3: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas Perodua Alza yang dipandunya terbabas di Jambatan Jalan Brooke Drive lalu terhumban masuk ke dalam Sungai Merah di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu mengakibatkan mangsa, Ting Kwong Lim, 25, meninggal dunia akibat terperangkap sebelum lemas dalam kenderaan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan ke pusat bandar Sibu dari Sungai Merah di sini.

Advertisement

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kemalangan, kenderaan yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terhumban masuk ke dalam sungai.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sibu kemudian dihubungi bagi membantu kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, anggota PPDA Sibu yang melakukan penyelaman kemudian menjumpai kenderaan itu sebelum operasi mengangkat Perodua Alza itu dilakukan dengan menggunakan jentera kren.

Katanya, apabila berjaya mengangkat kenderaan itu, pasukan penyelamat mendapati mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu bagi tujuan pengecaman oleh keluarganya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement