KUCHING, Feb 26: Sarawak menerima keseluruhannya seramai 326,327 orang pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang Januari tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 10.72 peratus berbanding sepanjang Januari tahun lepas.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peningkatan agak ketara tersebut adalah berikutan kempen Tahun Melawat Sarawak 2019 yang telah dilancarkan pihaknya Disember 31 tahun lepas.
“Manakala jumlah pengunjung ke Sarawak terutama dari negeri lain di Semenanjung pula secara teknikalnya meningkat sebanyak 68 peratus (sepanjang Januari tahun ini) jika dibandingkan dengan bulan sama pada 2018,”katanya ketika Majlis Pelepasan Bas Elektrik Bandar Raya CRRC Pertama Di Sarawak, di Mahkamah Lama Kuching, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata peningkatan ketara pengunjung ke Sarawak bulan lepas memberikan petunjuk kuat bahawa negeri ini mungkin mampu mencapai sasarannya menarik seramai 5 juta pelancong sepanjang Tahun Melawat Sarawak 2019.
Ini ditambah dengan sokongan kuat kalangan peserta industri pelancongan tempatan kepada aktiviti pelancongan seperti dari agensi pelancongan, hotel dan juga pemandu teksi di bandaraya ini.
“Saya dengan ini juga mengumumkan yang usaha kami mempromosikan kempen Tahun Melawat Sarawak 2019 telah menunjukkan keputusan yang agak baik setakat ini,” katanya dengan pihaknya masih mempunyai senarai panjang aktiviti pelancongan bagi tahun ini. — DayakDaily