“Perlantikan Sng berdasarkan perlembagaan PKR, bukan dibuat secara terus”

Abun Sui Anyit

KUCHING, Mei 17: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menafikan tuduhan yang perlantikan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dibuat secara terus oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit berkata ini kerana perlantikan itu berdasarkan perlembagaan parti di mana presiden parti itu telah berunding dengan ketua-ketua cabang yang hadir pada mesyuarat Mac 8 lepas.

“Datuk Seri Anwar sebagai presiden telah berunding dengan ketua-ketua cabang yang hadir mesyuarat pada 8.3.2020 sebelum melantik calon yang mendapat undian terbanyak,” menurut Abun Sui dalam satu kenyataan media hari ini.


Abun berkata tuduhan mereka yang keluar dari parti itu dan penyokong mereka bahawa PKR hanya fokus menjadikan Anwar menjadi Perdana Menteri juga adalah tidak tepat.

“Jawatan Perdana Menteri bukanlah cita-cita parti PKR semata-mata tetapi itu adalah persetujuan dan sokongan dari semua komponen di dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata presiden PKR sebelum ini telah bersetuju menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lepas dan menjadi Perdana Menteri selepas PH menang.

“Tidak mungkin Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri jika Datuk Seri Anwar fokus menjadi Perdana Menteri sahaja.”

Selain itu, beliau menafikan yang MPN Sarawak sebelum ini telah tidak diberikan ruang seluas-luasnya untuk memimpin parti terbabit oleh pimpinan pusat di Kuala Lumpur.

“Pemimpin pusat hanya bertindak balas apabila keadaan berbangkit sahaja berdasarkan kuasa-kuasa mereka yang termaktub di dalam parti. Bahkan MPN Sarawak sekarang pun membuat keputusan-keputusan sendiri secara autonomi dan bukan diputuskan Kuala Lumpur.”

Menurut Abun Sui, tuduhan bahawa parti itu tidak mengambil serius Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga disangkal kerana fasal berkaitan perjanjian itu sebagai satu matlamat perjuangan parti untuk rakyat Sarawak serta sudah termaktub dalam perlembagaan parti. ā€” DayakDaily