Perkhidmatan bas sekolah percuma mula April ini, kata Abang Johari

Abang Johari (empat dari kiri) bersama pemimpin PBB yang lain di majlis pelancaran “Program Sarawak Kita Empun”.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Feb: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkhidmatan bas sekolah percuma akan bermula pada bulan April tahun ini.

Berucap pada pelancaran “Program Sarawak Kita Empun” di sini hari ini, beliau berkata secara prinsipalnya semua perancangan telah siap sepenuhnya.

“Insiatif ini memberi implikasi kewangan berjumlah RM4 juta kepada kerajaan negeri dan ia akan dilaksanakan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Dengan perkhidmatan ini, anak-anak kita akan menggunakan bas sekolah secara percuma dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tanggung,” katanya pada majlis yang diadakan di auditorium ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).


Tambah beliau, kerajan negeri mampu menyediakan perkhidmatan secara percuma dan inisiatif-inisiatif lain hasil kejayaan dasar ekonomi yang telah dilaksanakan Sarawak.

“Dasar ekonomi Sarawak sangat baik dan kita mampu memperolehi dana untuk mebiayai semua inisiatif-inisiatif untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Perkhidmatan bas percuma telah diumumkan Abang Johari ketika membentangkan cadangan Belanjawan 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November lepas.

Menurut beliau, ia adalah untuk meringankan beban yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar disebabkan kos pengangkutan untuk ke sekolah.

Perkhidmatan yang berdasarkan konsep “hop-on hop-off’ itu juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar. — DayakDaily