Perkenal Rang Undang-undang Ombudsman 2023, Sarawak selangkah di hadapan

Nicholas Kudi Jantai (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Nov: Sarawak satu langkah ke hadapan di Malaysia dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Sarawak Ombudsman 2023.

Menurut ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, ianya dapat menjadi benteng kepada cabaran semasa seperti risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di semua peringkat.


“Melalui penubuhan ombudsman ini juga,ianya dapat berfungsi sebagai pemantau bagi projek projek kerajaan yang dilihat sering saja bermasalah.

“Antaranya lambat siap, projek lewat dari jadual dan lebih teruk projek sakit,” katanya dalam perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Sarawak Ombudsman 2023 yang terdahulu telah dibentangkan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Tambah Nicholas, dengan kewujudan ombudsman ini nanti ianya boleh menjadi pemerhati dan membantu didalam usaha menambah baik sistem kerajaan Negeri.

Katanya, rang Undang-undang ini tidak melangkaui kuasa seperti polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sebagainya, selain mengikut piawaian yang diamalkan di negara maju yang sudah mengamalkan ombudsman.

“Sebaliknya ombudsman adalah alternatif kepada penyelesaian masalah.

“Dan yang paling penting sekali, rang undang-undang ini akan menarik lebih ramai pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara kerana mereka melihat kesungguhan kita menangani permasalahan ketidakcekapan urus tadbir dan rasuah di semua peringkat,” ujarnya. — DayakDaily