Perjuangan pemimpin dahulu membentuk persefahaman dan penyatuan kaum, kata Uggah

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Advertisement

KUCHING, 21 Julai: Sambutan Hari Sarawak pada tanggal 22 Julai mengajak seluruh rakyat negeri ini menghayati sejarah dan pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin dahulu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, perjuangan mereka telah membentuk persefahaman dan penyatuan kaum serta memastikan kestabilan ekonomi, politik dan sosial negeri Sarawak.

“Mengambil iktibar diatas kejayaan kerajaan Negeri Sarawak yang lepas adalah penting juga untuk kita mengekalkan semangat patriotik yang tinggi terhadap negeri sendiri.

Advertisement

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menjaga Sarawak,” katanya pada Perutusan Bersempena Sambutan Hari Sarawak 2021 hari ini.

Bagi rakyat yang lahir sebelum tahun 1963 tambah Uggah, mereka telah menyaksikan bagaimana keadaaan Sarawak ketika itu berbanding dengan keadaan sekarang.

Katanya, banyak yang sudah berubah dari segi sektor ekonomi, sosial, fizikal dan politik.

Oleh itu, Uggah mengajak rakyat Sarawak untuk terus bersatu-padu dan bekerjasama untuk menjadikan negeri ini berjaya sebuah negeri yang berstatus maju menjelang tahun 2030.

Melalui perutusan itu, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua barisan hadapan yang telah bekerja keras siang dan malam dalam memerangi wabak Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan semua rakyat.

“Peperangan ini bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara yang perlu diambil kira dari segi keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Namun dengan adanya kerjasama, komitmen dan kefahaman rakyat kita akan berjaya memerangi penularan wabak ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Uggah berkata tarikh 22 Julai adalah merupakan salah satu peristiwa bersejarah yang amat penting di mana Sarawak diberi kuasa untuk memerintah diri pada ketika itu. — DayakDaily

Advertisement