This Content Is Only For Subscribers
BINTULU, 10 Jun: Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) Parti Demokratik Progresif (PDP) 2023 tonjolkan semangat penyatuan yang kukuh dalam parti, kata Timbalan Presiden Dato Henry Harry Jinep.
Menurut beliau, pemimpin parti dan para perwakilan telah menunjukkan sikap matang dalam politik dan mahukan PDP terus kekal sebagai parti yang kuat.
“Paling penting kita nampak sikap ‘gentlemen’ semua pemimpin dan perwakilan.
“Beberapa perkara kita bincangkan bersama, beberapa perkara penting kita persetujui bersama.
“Kita meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan individu, itulah yang paling penting,” katanya ketika ditemui selesai sesi pemilihan ahli majlis tertinggi di Restoran Dinner World, Bintulu Sentral hari ini.
Pada pemilihan tersebut, Henry yang sebelum ini menjawat naib presiden telah dilantik sebagai timbalan presiden (tiada pertandingan).
Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Tasik Biru dan Timbalan Menteri Pengangkutan mengucapkan terima kasih kepada Adun Marudi Datuk Penguang Manggil kerana telah memberi laluan kepadanya pada pemilihan tersebut.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Penguang kerana memberi peluang kepada saya sebagai timbalan presiden dan beliau (Penguang) bersetuju dengan jawatan naib presiden kanan.
“Ini adalah satu-satunya yang terbaik untuk parti, perwakilan dan pemerhati pun semua menerima keadaan tersebut sebagai kekuatan parti,” ujar Henry.
Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) Parti Demokratik Progresif (PDP) mulai 9 – 11 Jun dihadiri lebih 600 perwakilan dan pemerhati. — DayakDaily