KUCHING, Jun 30: Perhiasan terabai kayu dengan ukiran kaum Iban menjadi antara kraftangan kayu yang laris dijual kepada orang ramai yang mengunjungi Ekspo Perkayuan dan SME Sarawak 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.
Penjualnya, Joseph El, 50, berkata di ekspo selama tiga hari itu, gerai kraftangannya mampu menjual purata sebanyak 10 terabai setiap hari kepada orang ramai dengan harga satu terabai serendah RM60 sehingga RM350 bergantung kepada saiznya dari sepanjang satu kaki sehingga tiga meter.
“Ini kerana harga jualan perhiasan terabai di gerai saya cukup murah; sekiranya di tempat lain harga bagi satu terabai yang sama boleh mencecah RM600 dan RM1,000,” katanya bila ditemu di ekspo itu hari ini.
Joseph berkata berikutan tawaran harga yang menarik ada kalangan kumpulan kebudayaan dan pengusaha kedai kraftangan juga turut membuat tempahan untuk perhiasan kayu itu dalam kuantiti yang banyak di gerainya.
“Saya memperolehi bekalan potongan kayu terabai ini dari Sibu dan kemudian memperhalusi ukiran pada terabai dan mengecat serta membalutinya dengan lapisan plastik sebelum dijual kerana terabai kayu ini mudah rosak,” katanya dengan kebanyakan perhiasan itu diperbuat dari kayu plaie yang lembut dan sukar diperolehi.
Selain perhiasan terabai kayu ukiran Iban, gerainya juga menjual terabai yang lebih berwarna warni dan sesuai bagi penari kebudayaan dan yang juga dihiasi dengan pelbagai corak ukiran kaum Dayak.
Joseph yang berasal dari Kuching berkata bekalan perhiasan terabai yang dijualnya ketika ini sebahagian besar masih tersimpan di rumah dan tidak dapat dibawa kesemuanya ke ekspo itu kerana kekurangan ruang mempamerkannya. — DayakDaily