Perbincangan bersama pendekatan terbaik, kata MP Lubok Antu

Jugah (duduk kanan) di Program Begulai Berambeh Penduduk Kampung Tanjong Engkilili.

KUCHING, Dis 15: Perbincangan berterusan di antara pemimpin dan rakyat harus sentiasa diamalkan, kata MP Lubok Antu Jugah Muyang.

Berucap pada Program “Begulai Berambeh Penduduk Kampung Tanjong Engkilili’ semalam, beliau berkata melalui perbincangan banyak masalah yang di hadapi rakyat boleh diselesaikan.

“Pendekatan dan kesepakatan yang melibatkan semua pihak berkepentingan harus dicari demi mencapai keadilan ekonomi dan melakukan pembaharuan.

“Ia adalah jalan terbaik untuk membolehkan segala projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan memberi impak pada usaha meningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara itu diadakan di Rumah Imau Tanjong dan telah dihadiri lebih 250 orang tetamu.


Pendekatan tersebut, tambah Jugah, boleh membantu usaha kerajaan untuk membangunkan daerah termiskin Lubok Antu.

Katanya, kehadiran tetamu yang melebihi 250 orang adalah petunjuk mereka mahukan perubahan dan pembangunan di kawasan mereka.

Pada program itu, Jugah turut menyampaikan peruntukan untuk mendapatkan tangki air yang berjumlah RM30,000 dan RM20,000 untuk pembinaan stor.

Sejumlah RM20,000 diperuntukan kepada JKKK Rumah Imau serta RM5,000 untuk Biro Wanita. — DayakDaily