Perais tuntut jawapan kerajaan terhadap Tuntutan OKU Sarawak

Rapelson Richard Hamit (kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak Isak Ngau (kanan).

KUCHING, 21 Mei: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) mahu kerajaan negeri memberikan jawapan terhadap memorandum yang dihantar oleh persatuan itu pada April lalu.

Presiden PERAIS Rapelson Richard Hamit berkata, memorandum tersebut telah diserahkan pihaknya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 27 April lalu namun sehingga kini tiada maklum balas diterima pihaknya daripada kerajaan Sarawak selepas pertemuan tersebut.

“Memorandum tersebut yang di serahkan kepada Ketua Menteri adalah bagi menuntut hak yang diberikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) Sarawak sama ada di peringkat negeri dan di peringkat persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Rapelson berkata, selain kerajaan Sarawak, pihaknya juga berhasrat untuk menghantar memorandun terbabit kepada Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Ia bagi menuntut keperluan OKU secara ekslusif dan menyeluruh terutamanya melibatkan keperluan OKU ketika berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

“Memorandum akhir ini telah ditulis dan dipersetujui bersama oleh PRAIS), Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Isak Ngau, Cawangan Sarawak dan Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (IDAM)Antonie Zawie Demit,” katanya.

Menurut Rapelson, memorandum tersebut yang mempunyai 16 tuntutan oleh OKU Sarawak antara lain memohon agar bantuan BKSS RM250 dilanjutkan daripada 6 bulan menjadi 12 bulan dan bantuan “One Off” sebanyak RM500 kepada semua golongan OKU bagi membantu OKU yang terjejas dan hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 ini .

Selain itu, katanya, OKU Sarawak juga memohon agar kerajaan mengkaji semula jenis perniagaan urut tradisional yang diusahakan oleh OKU penglihatan untuk diletakkan dibawah kategori kesihatan tradisional dan bukannya dibawah kategori hiburan.

Ini kerana, ramai golongan itu mengusahakan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan hakiki mereka.

“Sesungguhnya golongan OKU keliru tentang arahan pusat urut diarahkan ditutup kerana alasan berkontak rapat dengan pelanggan. Namun tidak bagi premis gunting rambut atau salon dimana situasinya sama dengan pusat urut tapi dibenarkan beroperasi,” katanya.

Ujar Rapelson, menerusi memorandum tersebut juga, OKU Sarawak turut mahu kerajaan melaksanakan Perkeliling Akta OKU 2008 sebagai salah satu undang-undang bagi melindungi golongan itu dan tindakkan perlu diambil terhadap sesiapa yang melanggar akta tersebut.

“Perlaksanaan ini penting agar semua perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada kerajaan Sarawak atau kerajaan persekutan selari dengan asas dengan deklarasi OKU yang telah ditandatangani dan juga Akta OKU 2008 terbabit,” katanya. — DayakDaily