SERIAN, 16 Jun: Seorang penyelia di sebuah syarikat swasta maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Serian-Kuching hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata lelaki berusia 28 tahun itu semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Toyota Avanza.
Katanya, mangsa dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke Kuching sekitar jam 6.50 pagi.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan dan terus melanggar sebuah rumah.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang berasal dari Bintangor itu dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily