Penyelesaian RM2 bilion SST langkah awal Petronas, kata Awang Azman

Dr Awang Azman Awang Pawi

KUCHING, Jun 7: Tidak timbul isu kerajaan negeri Sarawak  bersetuju menerima pembayaran RM2 bilion daripada Petronas bagi cukai jualan produk petroleum lima peratus menerusi penyelesaian luar mahkamah.

Penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya Universiti Malaya Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan sedemikian kerana kes tersebut lemah.

Beliau percaya penyelesaian RM2 bilion untuk cukai jualan 2019 ini dianggap langkah awal sebelum rundingan lanjut  dengan pihak Petronas.

“Langkah terbaik Petronas ialah menyelesaikan dengan cara rundingan dan diplomasi sehingga berlakunya pembatalan rayuan Petronas yang dijadualkan pada 17 Jun, 2020.

“Maknanya, Petronas tidak mahu mengeruhkan suasana tersebut, lalu bersetuju membayar Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM2 bilion pada 2019.

“Ia sebenarnya satu bentuk pengiktirafan terhadap tuntutan kerajaan negeri Sarawak dan juga mengiktiraf Perlembagaan Negeri Sarawak terhadap SST untuk produk petroleum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dari segi keputusan perundangan  tambah Awang Azman, penghakiman Mahkamah Tinggi memperakukan kuasa dan hak Sarawak dari segi Perlembagaan untuk melaksanakan SST terhadap apa-apa produk petroleum di Sarawak.

Manakala dari perspektif undang-undang, penarikan balik rayuan Petronas  membuktikan syarikat petroleum negara itu terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Dalam hal ini ternyata hak-hak Sarawak  dalam hal ehwal minyak dan gas, isu perairan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga Perjanjian Malaysia dan Syor  Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 menjadi asas kepada usaha mempertahankan hak-hak Sarawak,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut Awang Azman berkata, implikasinya kerajaan negeri Sarawak mendapat lima peratus daripada keuntungan  RM40.5 billion, iaitu sebanyak RM2.25 bilion.

Menurut beliau, jumlah ini ditambah lagi dengan RM2 bilion cukai jualan 2019.

“Maka, Sarawak mendapat RM4.25 bilion daripada Petronas pada 2019.

“Sebenarnya Cukai Jualan atau SST sebanyak RM2 bilion diterima Sarawak tersebut hanya dari Petronas.

“Ini tidak termasuk SST yang perlu dibayar oleh syarikat minyak lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina serta  syarikat yang lain beroperasi di negeri ini,” jelas Awang Azman. -DayakDaily