– oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Okt 8: Seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini cedera selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan asrama di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun cedera di bahagian kepala, pinggang serta patah kedua-dua tangannya.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh apabila cuba bergerak daripada tingkap bilik sendiri ke tingkap bilik rakan serumah yang terkunci dari dalam.
Katanya, hasil siasatan awal, kejadian berlaku semasa mangsa berseorangan di dalam rumah.
“Bagaimanapun, punca kejadian belum dapat dikenalpasti kerana mangsa dalam keadaan kritikal.
“Buat masa ini, kes lebih terarah kepada kemalangan kerana tiada motif yang jelas untuk mangsa melakukan cubaan bunuh diri,” katanya di sini hari ini.
Lee menambah, saksi mengatakan telah melihat mangsa terbaring di tingkat bawah dalam keadaan kepala berlumuran darah.
Katanya, mangsa cuma didengari menuturkan perkataan ‘ayah’ sebelum saksi kemudiannya mendapatkan bantuan untuk menghantar mangsa ke Pusat Jantung, Kota Samarahan untuk rawatan lanjut.
“Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat berhubung kes tersebut.
“Mangsa kini masih dirawat di zon merah, Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya. — DayakDaily