Penuntut digesa manfaatkan Food Bank Siswa di Kolej Komuniti Kuching

Fadil (dua kanan) merakamkan kenangan bersama pegawai Kolej Komuniti Kuching selepas majlis pelancaran Food Bank Siswa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jul 28: Para pelajar diseru untuk memanfaatkan Food Bank Siswa yang disediakan di Kolej Komuniti Kuching terutama kepada penuntut yang benar-benar memerlukan bantuan.

Demikian menurut Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Fadil Aziz ketika melancarkan Food Bank Siswa kepada pelajar bertempat di dewan serbaguna kolej itu di sini hari ini.

Advertisement

Menurut Fadil, program Food Bank Siswa merupakan inisiatif Bahagian Pembangunan Pelajar (BPP) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mewujudkan Food Bank Siswa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Pada majlis sama, Fadil turut merakamkan penghargaan kepada individu dan pihak yang bermurah hati memberi sumbangan bagi mengisi ruangan Food Bank Siswa yang diletakkan di ruang rehat pelajar.

Manakala, Pegawai Pembangunan Pelajar, Norshafiza Zakaria pula berkata, beliau mengalu-alukan pihak individu, syarikat dan komuniti setempat yang sudi memberi sumbangan mahupun tajaan berbentuk wang tunai, makanan dan minuman untuk diletakkan di Food Bank Siswa tersebut bagi bersama membantu pelajar yang memerlukan.

Program Food Bank Siswa merupakan program yang diperkenalkan oleh KPDNHEP yang bagi membantu pelajar yang berasal daripada golongan B40 yang sedang mengikuti pengajian di IPTA.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail pada Mac lalu. ā€” DayakDaily

Advertisement