Penunggang motosikal maut, rempuh belakang lori di Miri

Siasatan dijalankan di lokasi kemalangan.

MIRI, 6 Dis: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar belakang sebuah lori di Jalan Jelira Miri Bypass pada malam Isnin (4 Dis).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya iaitu sekitar jam 10 malam.

Katanya, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan raya terbabit.


“Siasatan awal mendapati lori tersebut mengalami kerosakan dan diletakkan di tepi jalan raya tersebut.

“Mangsa dipercayai tidak menyedari lori tersebut lalu melanggar bahagian belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily