Penunggang motosikal maut dirempuh kereta di Serian

Keadaan kedua-dua kenderaan selepas kemalangan tersebut.

SERIAN, 1 Dis: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer (KM) 80 Jalan Kuching-Sri Aman, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 54 tahun semasa kejadian menunggang sebuah motosikal iaitu sekitar jam 10.48 malam.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Antauan Keropok, Serian itu telah dilanggar sebuah kereta dari arah belakang menyebabkan dia tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala.


Anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily