Penunggang motosikal maut dilanggar lori

Keadaan kemalangan maut di kawasan lampu isyarat Jalan Mantis.

KUCHING, Ogos 26: Seorang peniaga wanita berusia 71 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah lori di Lampu Isyarat Jalan Mantis, Sibu awal pagi tadi.

Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerusi laporan kes memaklumkan kejadian berlaku jam 5 pagi ketika mangsa, Ngan Nguok Yiing, yang datang dari arah Upper Lanang hendak membelok masuk ke Simpang Jalan Mantis.

“Lori yang datang dari Sibu ke Jambatan Lanang telah melanggar motosikal yang ditunggangi beliau di kawasan lampu isyarat.


“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” menurut laporan kes IPD Sibu.

Mangsa berasal dari Lorong Upper Lanang 32 B/4, Sibu.

Pemandu lori telah ditahan di bawah Seksyen 112 APJ 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Apj 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes masih dalam siasatan. — DayakDaily