Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kampung Baru, Kota Samarahan

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Jalan Kampung Baru, Kota Samarahan.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 27 Jun: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Kampung Baru, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Abdullah Talip Seri berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Moyan Laut, Asajaya.

Beliau memberitahu, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal bersama rakannya dari arah Kota Samarahan menuju ke Asajaya pada jam 1 petang.

Advertisement

Jelasnya, mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang lampu.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Manakala rakan mangsa dikenali sebagai Muhammad Qairul Muhammad Fairuz, 17 tahun yang beralamatkan dari Kampung Rampangi, dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. — DayakDaily

Advertisement