Penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan lori

Kelihatan motosikal mangsa berada di bawah lori tersebut.

KUCHING, 29 Nov: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kwang Lee Bank, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah ACP Ahsmon Bajah berkata mangsa, 69 tahun, semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri dari arah Padungan sekitar jam 12.35 tengah hari.

Katanya, setiba di lokasi kejadian mangsa telah berlanggar dengan sebuah lori.


“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Bagaimanapun dia telah disahkan meninggal dunia semasa dalam rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh tampil membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily