Penunggang motosikal maut, berlanggar dengan kereta 

Keadaan di lokasi kemalangan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KOTA SAMARAHAN, 19 Ogos: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta hari ini.
Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di Kilometer 22 Jalan Kota Samarahan-Asajaya sekitar jam 1 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Sudirman Kram berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Saifuddin Kamariah, 19 tahun dan berasal dari Kampung Sadong Jaya, Asajaya.
Katanya, semasa kejadian mangsa bergerak dari arah Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan telah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Kota Samarahan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.
Manakala pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily