Penunggang motosikal maut, berlanggar dengan kereta di Jalan Batu Kawah-Matang

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 27 Mac: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Batu Kawah-Matang, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa ialah seorang lelaki berusia 24 tahun dan berasal dari Taman Malihah, Jalan Matang.

Katanya, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Matang Jaya menuju ke Malihah sekitar jam 8.40 malam.

Advertisement

“Semasa kejadian, pemandu sebuah kereta yang bergerak dari Taman Malihah menuju ke Matang Jaya dikatakan dilanggar oleh mangsa yang dikatakan tiba-tiba memasuki laluan pemanduannya.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement