Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Serian

Siasatan dijalankan di lokasi kejadian.

SERIAN, 4 Okt: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Jalan Serian-Balai Ringin hari ini.

Menurut sumber, mangsa yang dikatakan merupakan seorang pegawai polis semasa kejadian bergerak lurus dari arah Serian dan telah berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD).

Difahamkan kenderaan 4WD tersebut membuat pusingan ‘U’ di laluan tersebut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakangnya.


Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Identiti mangsa masih belum diketahui sehingga berita ini ditulis.

Manakala pemandu kenderaan 4WD yang dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian telah tampil menyerah diri di Balai Polis Serian.

Anggota dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Serian turut hadir di lokasi kejadian menjalankan siasatan. — DayakDaily