Oleh Brad Rantayy
MIRI, 31 Ogos: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda malam Selasa (30 Ogos) di Jalan Batu 1 Kuala Baram.
Dalam kejadian, menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, motorsikal yang ditunnggang mangsa berusia 27 tahun itu telah bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda tersebut sebelum diseret dan terbakar.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati, semasa kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang warga emas berusia 69 tahun cuba masuk ke sebuah simpang menghala ke Senadin lalu bertembung dengan motorsikal mangsa yang yang datang dari arah jalan lurus Kuala Baram-Lutong,” ujarnya.
Katanya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 7.48 malam.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak perubatan Hospital Miri yang turut tiba di lokasi.
Satu kertas siasatan dibuka dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily