Penularan wabak cacar monyet dipantau — Abdul Karim

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap berita penularan wabak cacar monyet (monkeypox) tidak membimbangkan.

Abdul Karim melihat ia bukanlah satu masalah yang besar, namun yakin pihak berwajib akan memantau situasi penularan.


“Saya pun baru mendengar berita berhubung cacar monyet ini dalam dua tiga hari yang lepas.

“Perkara seperti ini adalah berita yang tidak mengembirakan terutama kepada mereka yang terlibat di dalam industri pelancongan.

“Harapan saya ia hanya berita virus yang tidak membimbangkan, tidak menjadi pandemik seperti Covid-19,” katanya ketika di temui di Kuching hari ini.

Beliau ditanya sama ada berita penularan wabak cacar monyet bakal memberi impak kepada sasaran 1.2 juta pelancong ke Sarawak.

Pada Sabtu (21 Mei) lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan kes di semua Pintu Masuk Antarabangsa serta melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, jika mereka mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Mereka perlu maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut dan mengelakkan daripada kontak langsung dengan individu lain.

“Selain itu, mereka perlu lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” kata Noor Hisham.

KKM menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga. — DayakDaily