KUCHING, 29 Jun: Golongan pesara di Sarawak disaran untuk cuba menceburi bidang penternakan udang kara air tawar dari Australia secara moden bagi menambah pendapatan mereka.
Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata ketika ini, harga udang terbabit boleh mencecah sekitar RM80 sekilogram di semenanjung dan harga mungkin mencecah RM60 hingga RM80 sekilogram di Sarawak.
Seekor udang terbabit boleh membesar dan mencecah berat dari 100gram ke 200 gram dalam tempoh lapan bulan dan bagi lima ekor udang itu sahaja boleh mencecah berat sehingga satu kilogram, tambahnya.
“Ada satu lagi yang terbaru iaitu udang kara atau lobster air tawar atau crayfish. Rasanya memang sedap dan boleh kita buat (penternakannya) di belakang rumah guna cara moden.
“Baka (udang) ini berasal dari Australia dan bukan ikan tempatan,” katanya ketika majlis penutupan Konvensyen Sehari Persatuan Pesara Guru Sarawak (PPGS), di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman mencadangkan golongan pesara yang berminat untuk mendapat bantuan dari Jabatan Pertanian yang mempunyai program untuk membantu aktiviti pertanian moden tersebut.
Antara bantuan jabatan dalam program terbabit ialah dari segi input pertanian, peralatan, makanan ternakan, khidmat nasihat dan disamping itu, pesara juga boleh mendapatkan pengetahuan tambahan tentang penternakan udang itu melalui Internet, katanya.
“Selain tambahan kepada pencen, ini juga boleh mengisi masa yang terluang,” katanya, sambil menambah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari, sudah mengumumkan yang Sarawak akan menempah kapal terbang kargo bagi mengeksport hasil pertanian ke luar negara khususnya Singapura.
Dr Abdul Rahman juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada persatuan itu yang diluluskan pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Febuari 2018 dan ketika ini diketuai presidennya, Datu Abdillah Adam. — DayakDaily