Pensyarah universiti swasta dicekup edar dadah

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, Ogos 22: Seorang pensyarah di sebuah universiti swasta di sini ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di kaunter kutipan Pos Laju Jalan Song di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, SUPT Sahar Abd Latif berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang.

Katanya, sebelum tangkapan itu, anggota polis mengesan pergerakan suspek tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan membawa satu bungkusan Pos Laju.

“Pemeriksaan badan yang dilakukan tidak menjumpai sebarang kesalahan dadah, tetapi pemeriksaan ke atas kereta Perodua Myvi suspek telah menemui 2 ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

“Suspek seterusnya dibawa ke pejabat JSJN IPK Sarawak. Pemeriksaan pada bungkusan pos laju tersebut dibuat di hadapan suspek dan mendapati mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, soal siasat lanjut terhadap suspek telah mendedahkan masih ada bahan disyaki dadah dalam simpanannya.

Katanya, pada hari yang sama dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan JSNJ Sarawak telah membuat pemeriksaan dengan disaksikan oleh lelaki itu di bahagian siling sebuah tandas perempuan di universiti tempat dia bekerja.

“Pemeriksaan polis telah menjumpai satu kotak dan di dalamnya terdapat satu ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

“Polis juga menemui satu beg hitam dan di dalamnya terdapat dua ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya.

Sahar menambah, turut dirampas dalam serbuan itu ialah masing-masing satu alat timbang elektronik, gulungan kecil plastik dan pisau pemotong.

Ujarnya, anggaran berat dadah jenis ganja yang dirampas ialah 2,240 gram, manakala nilai rampasan berjumlah RM22,300.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Ogos depan untuk siasatan lanjut.

“Suspek mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 2010 dan mula mengedar dadah pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — DayakDaily