Pensijilan MSPO, Sarawak capai 26 peratus daripada keseluruhan keluasan sawit

Harvested oil palm fruits. — file pic

KUCHING, 15 SEPTEMBER: Sarawak mencatatkkan pencapaian pensijilan MSPO sebanyak 26 peratus atau 62,496 hektar dari keseluruhan keluasan sawit milik pekebun kecil persendirian mengikut statistik sehingga 25 Ogos 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini menjadikan Sarawak sebagai negeri yang kedua tertinggi peratusan pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilan MSPO selepas Sabah.

“Bagi memastikan semua pekebun kecil persendirian memperolah pensijilan tersebut, kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysiia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sedang melaksanakan beberapa inisiatif.


“Antaranya, mempergiatkan lagi aktiviti promosi dan turun padang melalui program seperti ‘Jom MSPO’ di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun kecil persendirian dalam pensijilan MSPO.

“Bagi Sarawak aktiviti-aktiviti promosi juga melibatkan kerjasama agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Pertanian Sarawak dan persatuan seperti Dayak Oil Palm Planters Association (DOPPA) dan Sarawak Oil Palm Plantation Owners Association (SOPPOA),” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian pada jawapan bertulis kepada Senator Rita Sarimah Patrick Insul pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, latihan dan tunjuk ajar akan diberi secara berterusan kepada pekebun kecil persendirian yang menyertai pensijilan MSPO di seluruh negeri bagi meningkatkan kesedaran dan kepatuhan.

Katanya, pemberian insentif MSPO sepenuhnya untuk pekebun kecil persendirian merangkumi pembayaran yuran pensijilan serta pemberian percuma peralatan perlindungan diri dan rak bahan kimia.

Jelas Mohd Khairuddin, ini bagi memastikan setiap pekebun kecil persendirian tidak mempunyai halangan dan kekangan dalam mematuhi keperluan MSPO.

Tambah beliau, surat amaran mandatori MSPO akan diedarkan kepada pemegang lesen Pekebun Kecil (SH) yang masih belum mendaftar MSPO bermula 1 Januari 2021. — DayakDaily