Penjawat awam lesap wang lebih sejuta ringgit ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 22: Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM1,096,800 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes yang melibatkan seorang wanita berusia 52 tahun itu dilaporkan berlaku pada Mei 20 lepas.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang kemudiannya memperkenalkan diri sebagai “Syaifa Omar” kononnya dari Mahkamah Terengganu dan mengatakan akaun mangsa telah digunakan untuk menggelapkan wang kredit sebuah bank berjumlah RM90,000 dan juga terlibat di dalam pembelian dadah.

“Suspek turut mendakwa kes tersebut di dalam siasatan pihak polis dan selepas itu mangsa terima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Sufian Sulaiman” yang mengatakan akaun mangsa telah digunakan untuk penggelapan wang dan penyeludupan dadah,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, suspek turut mengatakan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan jika mangsa tidak memasukkan wang ke dalam akaun pengadu sendiri.

Jelasnya, selain itu, mangsa juga diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan online akaunnya ke nombor telefon yang diberikan suspek.

“Mangsa kemudian telah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke dalam salah satu akaun bank miliknya secara berperingkat mulai Mei 7, 2019 sehingga Mei 20, 2019 melalui 18 kali transaksi.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan melalui mesin ATM dan mendapati wang di dalam akaun bank beliau tinggal RM21 sahaja,” katanya. — DayakDaily