Penjaga bendera projek jalan maut dirempuh lori

Keadaan lori muatan cecair gam papan yang terbabas dan terbalik di KM29, Jalan Betong-Saratok.
Advertisement

SARATOK, Jun 21: Seorang penjaga bendera bagi projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo maut selepas dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan lalu terbabas di KM29, Jalan Betong-Saratok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Enchangan Timban, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa muatan cecair gam papan itu dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching.

Advertisement
Keadaan lori muatan cecair gam papan yang terbabas dan terbalik di KM29, Jalan Betong-Saratok.

Katanya, apabila sampai di lokasi pemandu lori yang berusia 55 tahun dikatakan telah melihat mangsa menunjukkan tanda warna hijau ada tulisan *GO* dan menyebabkan pemandu lori terus memandu.

“Namun, pada masa sama pemandu tersebut ada melihat sebuah lori pengangkut tanah warna kuning telah berhenti di susur keluar kanan.

“Tetapi, sebuah lagi lori pengangkut tanah tiba-tiba datang dari arah belakang lalu memotong lori pengangkut tanah pertama yang terus keluar dari susur kanan menyeberangi jalan utama ke susur kiri menyebabkan pemandu lori muatan gam papan itu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar mangsa di bahu jalan kanan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, kejadian sama turut mengakibatkan dua lagi penjaga bendera cedera semasa menyelamatkan diri dari dirempuh lori tersebut.

Katanya, siasatan akan diteruskan bagi merakam keterangan ‘flagman’ lain dan mengesan dua pemandu lori pengangkut tanah seperti dinyatakan oleh pemandu lori muatan cecair gam papan berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement