Peningkatan harga sawit bantu kerajaan peroleh keuntungan cukai lebih RM348 juta

Harvested oil palm fruits. — file pic

KUCHING, 11 Nov: Harga minyak sawit mentah (MSM) yang melepasi paras RM3,000 setan dijangka terus meningkat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia dipacu oleh sentimen pasaran yang positif.

Menurut beliau, peningkatan disokong jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung tahun 2020.


“Harga minyak sawit di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.

“Selain itu, faktor asas dan sentimen pasaran turut mempengaruhi pergerakan harga MSM di pasaran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

MSM telah menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara, melonjak kepada RM3,424 setan pada 6 November 2020 berbanding paras terendahnya, iaitu RM2,021.50 setan pada 12 Mei 2020, peningkatan sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus.

Tambah Mohd Khairuddin, harga MSM yang mencecah RM3,424 setan ini adalah tertinggi sejak 3 Mei 2012 iaitu pada RM3,417.50 per tan.

Jelas beliau, peningkatan harga MSM telah menyumbang kenaikan harga Buah Tandan Segar (BTS) kepada RM727 per tan pada 6 November 2020 berbanding RM408 per tan pada 12 Mei 2020.

Trend MSM, katanya, menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit.

“Berdasarkan prestasi dan jangkaan harga dan pengeluaran BTS dari estet sepanjang tahun 2020, potensi hasil kutipan levi keuntungan luar biasa oleh kerajaan pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM348 juta berbanding hanya RM256,000 sahaja pada tahun 2019.

“Sebagai panduan, levi dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500 per tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000 per tan di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.

Kementeriannya, tambah Mohd Khairuddin, juga sedang mengkaji struktur keseluruhan percukaian dalam sektor perladangan komoditi untuk merancakkan lagi pembangunan industri sawit. — DayakDaily