Oleh Dean Adam
KAPIT, Nov 25: Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM10,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar dengan menggunakan nama Koperal Aaron Abdullah.
Katanya, suspek kemudian mengatakan lelaki itu memiliki satu saman atas kesalahan kemalangan langgar lari di Johor dan minta mangsa membayar saman.
“Mangsa kemudian memberitahu suspek dia tidak pernah pergi ke Johor dan baru balik ke Kapit dari Kuching.
“Selepas itu mangsa telah menerima pesanan ringkas daripada nombor 0162154503 dan memperkenalkan diri sebagai CCID Khoo iaitu kawan kepada Koperal Aaron Abdullah dan menyatakan yang mangsa ada membuat kesalahan penggubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa menambah, suspek kemudi meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM10,000 untuk bayaran ikat jamin.
Katanya, suspek juga ada memberi mangsa satu video suspek bagi kes penggubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah serta satu salinan surat waran tangkap.
“Suspek kemudian menyatakan yang akaun bank mangsa akan dibekukan.
“Mangsa berasa takut kemudian membuat membuat bayaran sebanyak RM7,000 dan RM3,000 dari akaun Hong Leong Bank mangsa ke akaun CIMB Bank suspek atas nama Yip Wai Loon,” katanya.
Mangsa kata Mustafa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu suspek. — DayakDaily