Peniaga, pengguna diingat tidak salahguna kebenaran diberikan kerajaan

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA, 10 Feb: Golongan peniaga dan pengguna diingatkan utuk tidak menyalahgunakan kebenaran beroperasi yang diberikan kerajaan terhadap 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang akan bermula hari ini (10 Feb).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, pengumuman tersebut tepat pada masanya dan ia amat dinantikan oleh komuniti peniagaaan serta pengguna yang menantikan pembukaan semua aktiviti sektor ekonomi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, semua premis terlibat haruslah memastikan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) sentiasa dipatuhi selain tidak menyalahgunakan kebenaran diberikan terutama untuk ‘dine-in’ di kedai-kedai makananan atau restoran.


“Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan berkaitan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pemilik peniagaan yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Tambah beliau, sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa bagi pematuhan SOP di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan tindakkan kompaun dibawah Akta 342.

“Saya amat berharap pembeli dan pengguna untuk turut bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 untuk bersama-sama memastikan rantaian wabak tersebut dapat diputuskan,” katanya.

Pengumunan pembukaan semula 17 sektor berkenaan diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dalam sidang media harian Covid-19 (Keselamatan) semalam (9 Feb).

Antara sektor yang dibenarkan beroperasi adalah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai kasut, kedai barang fotografi atau perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, kedai berkaitan aktiviti ‘outdoor’, kedai peralatan sukan, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, kedai aksesori kenderaan, restoran (kebenaran ‘dine-in’) dan Ar-Rahnu. — DayakDaily