Oleh Dean Adam
LUBOK ANTU, Mac 26: Seorang peniaga kedai makan kerugian RM8,480 selepas tertipu oleh sindiket ‘parcel scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman Facebook (FB) sejak Julai 2018.
Menurutnya, wanita yang berusia 32 tahun itu telah berkenalan dengan suspek yang kononnya berasal dari Belanda dan bekerja di United Kingdom.
“Sepanjang perkenalan tersebut, mangsa dan suspek sering berhubung menerusi FB Messenger dan telefon, malah suspek pernah memberitahu mahu mengirim bungkusan hadiah kepada mangsa.
“Seterusnya pada 27 Februari 2019, mangsa telah dihubungi oleh seorang perempuan kononnya dari syarikat kurier mengatakan bungkusan barangan hadiah daripada lelaki tersebut telah sampai di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.
Mustafa Kamal menambah, suspek kemudian memberitahu bagi memudahkan proses penghantaran bungkusan hadiah itu, mangsa dikehendaki membuat beberapa pembayaran.
Katanya, mangsa seterusnya membuat tiga kali transaksi berjumlah RM8,480 sejak 27 Februari hingga 13 Mac lepas ke dalam akaun suspek.
“Mangsa mulai sedar dirinya ditipu selepas suspek sering meminta dia melakukan pembayaran untuk proses perlepasan barangan tersebut.
“Peniaga tersebut kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – DayakDaily