Pengusaha kereta sewa Serian tuntut bayaran one off RM600 seperti pemandu teksi

Pemandu kereta sewa daerah Serian mahukan nasib mereka turut mendapat perhatian kerajaan.

KUCHING, Apr 30: Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian menyeru kerajaan agar membela nasib mereka yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

Presidennnya, Balachandran M.Balakrishnan berkata, kesemua ahli persatuan tidak layak untuk mendapat bayaran one off RM600 seperti yang diterima pemandu teksi.

“Untuk pengetahuan, kereta sewa adalah sama seperti teksi hanya kami menggunakan van.


“Kami juga mempunyai kad pemandu dan permit yang sah dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Balachandran memohon perhatian daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pihak kerajaan untuk membantu ahli-ahli persatuan.

Katanya, mereka juga mempunyai keluarga untuk disara dan seharusnya tidak diabaikan.

“Pendapatan kami terputus semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lepas.

“Kami memohon agar rayuan kami dipertimbangkan untuk sedikit sebanyak meringankan beban yang kami hadapi,” ujar Balachandran.—DayakDaily