Pengurus wanita rugi RM1,150 ditipu ‘Macau scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 17: Kes penipuan Macau Scam di negeri ini terus memerangkap mangsa dengan seorang wanita menjadi mangsa terbaharu di negeri ini.

Berdasarkan laporan polis diterima semalam, wanita itu yang bekerja sebagai pengurus di Padawan mengalami kerugian sebanyak RM1,150.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, mangsa mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Ong dari Mahkamah Kuching pada Oktober 15 lepas.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan bahawa mangsa mempunyai kes mahkamah tertunggak iaitu syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa pada 10.01.2018 iaitu Tai Hong Trading Company telah gagal membayar GST berjumlah RM 85,700 dan nombor kes mangsa ialah 10358/18.

“Selepas itu, mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Helmi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

“Suspek kemudian memaklumkan bahawa mangsa ada mempunyai kes yang melibatkan dadah dan penggelapan wang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, semasa perbualan antara mangsa dengan suspek, wanita itu kemudian memberitahu nombor akaun CIMB kepadanya.

Katanya, mangsa juga dimaklumkan oleh suspek bahawa aset mangsa akan dibekukan dan dia akan ditangkap sekiranya tidak memberi kerjasama.

“Panik dengan ‘ugutan’ suspek, mangsa kemudian membuat transaksi sebanyak RM1,150 ke dalam akaun CIMB atas nama Mohamad Sharil Shalie,” katanya. — DayakDaily