Pengunjung Pantai Tanjong Lobang gempar, mayat lelaki tanpa identiti ditemui

Anggota APM mengangkat mayat lelaki yang ditemui mati.

MIRI, Julai 30: Pengunjung di Pantai Tanjong Lobang di sini gempar dengan penemuan satu mayat seorang lelaki di tepi pantai berkenaan petang tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui pada pukul 4.40 petang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapt. (PA) Mohd Hazle Shah Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 4.43 petang.


Menurut beliau, sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri diarahkan ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan APM mendapati terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan terdampar di tepi pantai itu.

“Pasukan polis turut berada di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mohd Hazle menambah, pasukan APM kemudian mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya apabila mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat,” ujarnya lagi. — DayakDaily