Pengundi 18 tahun: SPR digesa syorkan garis panduan demokrasi kepada Kementerian Pendidikan

Dato Sri Fadillah Yusof

By Peter Sibon

KUCHING, Julai 17: Dengan lulusnya Rang Undang-Undang untuk mereka yang berumur 18 tahun menjadi pengundi secara atomatik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi garis panduan kepada Kementerian Pendidikan agar pengundi muda ini memahami amalan demokrasi negara ini di sekolah mahupun di universiti.

Saranan ini dibuat oleh Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Sri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan disini hari ini.

“Proses demokratik perlu dimulakan di peringkat sekolah dengan menyediakan kurikulum awal, bagaimana kita hendak melatih anak-anak untuk terlibat sama dan memahami proses atau amalan demokratik yang baik. SPR perlu mengeluarkan garis panduan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan, apa yang patut dan boleh dilaksanakan di sekolah termasuk universiti,” jelas Fadillah.

Beliau berkata, dalam senario politik ketika ini, dan ke arah mejadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang baik, pengundi muda perlu diasuh dengan politik berasaskan kebaikan dan pembangunan, dan bukan politik negatif berunsur fitnah, membangkitkan kemarahan dan kebencian.

“Justeru langkah penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dalam membanteras politik berasaskan fitnah dan kebencian terutama di media sosial. Ini kerana kita tidak mampu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah-belah disebabkan sentimen yang tidak baik,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parliamen Petrajaya, mencadangkan kepada kerajaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan hanya mengumumkan penguatkuasaan ini setelah Menteri ataupun Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong melalui proses tersebut.

“Perdana Menteri akan hanya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bila semua perkara-perkara teknikal telah pun diselesaikan. Perkara-perkara teknikal meliputi pindaan kepada undang-undang yang berhubung kait dengan menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan menjadi calon dalam pilihan raya serta mengemaskinikan daftar pengundi, yang mana sistem di antara polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), SPR, Jabatan Penjara dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu diselaraskan supaya hanya mereka yang layak menjadi pengundi berada dalam senarai. Semua ini adalah cabaran yang saya yakin kerajaan menerusi SPR akan dapat menangani sebelum ia dikuatkuasakan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, pindaan perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, kelayakan menjadi calon kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, yang diluluskan Dewan Rakyat semalam (Julai 16), sesuai dengan perundangan negara, yang mana usia majoriti adalah 18 tahun dan pelaksanaannya bakal memberi kesan besar kepada landskap politik negara.

“Bagi Sarawak, pendaftaran automatik terutamanya amat diperlukan, memandangkan keluasannya sebagai negeri terbesar menyebabkan wujudnya masalah logistik dari segi pendaftaran pengundi terutama di luar bandar yang mana tiada kemudahan untuk berurusan dengan SPR, tiada liputan Internet, malah semua kemudahan bagi mendaftar tidak wujud.

“Justeru GPS tampil mencadangkan supaya pendaftaran automatik dibuat dan GPS berterima kasih kepada kerajaan persekutuan khususnya YAB Perdana Menteri kerana mendengar serta menerima pandangan berkenaan dan memasukkan pendaftaran secara automatik di dalam pindaan yang bakal dibuat,” jelas beliau.

Fadillah juga berkata bahawa pindaan perlembagaan berkenaan akan memberi peluang kepada mereka yang berusia 18 tahun terlibat sama dalam proses demokratik negara supaya apa sahaja polisi yang dirangka sesuai untuk semua lapisan usia.

“Sarawak menyokong pindaan ini kerana dalam konteks negara kita, kita perlu memberi lebih banyak ‘engagement’ (penglibatan) dan ‘empowerment’ (pemberdayaan) kepada golongan muda untuk terlibat sama dalam proses merangka dasar yang lebih baik untuk negara,” kata Fadillah. — DayakDaily